Tanya Dia



Hitam warna kesukaan dia,
senyum satu elergi, bersuara bukan hobi
dia kerap bersendiri
telinga seperti tak pernah mendengar kata-kata mereka
tak ada sebarang cerita yang menarik bagi dia selain
diri sendiri

mata dia hitam
wajah dia dilindung rambut dia yang hitam
emosi dia kabur disebalik baju dia yang hitam
cuma butir-butir salji sahaja yang terserlah
bersama dia
dingin dan mati

Aku tak hairan warna diri dia
aku tak fikir semua itu

aku cuma ingin tahu
kenapa setiap hari aku lihat dia dari tingkapku

Ada air jernih dari mata hitam itu
sedikit senyum pada wajah disebalik rambut hitam itu
Ada corak putih pada baju didalam jaket hitam itu
lampu kecil di tangan
jelas aku nampak emosi

Bila aku cuba mencari tahu
waktu itu
aku terlihat mata dia, dalamnya cerah

dia padam lampu
dia tutup rapat tingkap itu
gelap...


Aku
aku telah jatuh dalam kegelapan diri dia













Peka


K kerap ke perpustakaan, setiap hari selepas kelas, K ke sana. K duduk di meja kedua hujung di sebalik rak buku-buku fiksyen bukan untuk dipinjam. K cari buku fiksyen kegemarannya di celah buku-buku yang tidak berkenaan. K habiskan bacaan dalam masa satu jam setengah.
Selepas satu jam setengah, tumpuan bukan lagi pada buku fiksyen. Z tiba untuk bertugas. Pandangan K hanya pada Z selama Z bertugas di kaunter pinjaman. Pada K, Z seorang perpustakawan yang bijak. Semua orang juga berkata begitu. Z memang bijak dalam menjalankan tugas. Pada K, Z seorang pelajar yang kemas. Pensyarah juga berkata begitu. Z memang kemas.
Satu jam sebelum perpustakaan ditutup, Z bangun dan meninggalkan kaunter. K bangun dan meninggalkan meja kedua hujung disebalik rak buku-buku fiksyen. Seorang perpustakawan yang sangat bijak, Z tahu buku-buku yang disorokkan di celah buku-buku yang tidak berkenaan. Z ubah semuanya kecuali buku-buku fiksyen.
K bergerak keluar dari perpustakaan. Z bergerak ke satu rak buku. Z ambil satu buku fiksyen . Z buka dan sambung halaman yang sudah di tanda. Z duduk dimeja kedua hujung disebalik rak buku-buku fiksyen.
Pada Z, K seorang pelajar kreatif. Semua orang juga berkata begitu. Pada Z, K memiliki citarasa bacaan yang sangat baik. Pensyarah juga berkata begitu. K membaca buku-buku yang hebat. Z baca setiap buku dan helaian yang dibaca oleh K setiap hari selepas kelas di perpustakaan.

Sebelum setengah jam terakhir selepas perpustakaan ditutup, kata Z dan K; "pada aku dia seorang yang sangat istimewa". "Aku sukakan caranya dan aku suka dia".